KUALA LUMPUR, 7 Feb – KENAL PASTI…. Pihak Polis sudah mengenalpasti identiti dua lagi individu yang disyaki terbabit dalam penyalahgunaan dadah bersama pelakon Sofi Jikan seperti yang didedahkan pelakon Datuk Farid Kamil, sebelum ini.

Terdahulu, Sofi Jikan, atau Mohamad Shoffi Jikan, 48, ditahan di Balai Polis Mutiara Damansara, pada jam 11 malam semalam, selepas hadir memberi keterangan berhubung laporan polis yang dibuat Farid pada 31 Januari lalu.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Datuk Kang Chez Chiang berkata, pada masa ini dua lagi individu yang dinyatakan oleh Farid sudah menyatakan kesediaan untuk tampil membantu siasatan.

“Pelakon Sofi Jikan ditahan semasa dia tampil memberikan keterangan selepas didapati positif dadah dan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya, untuk perintah reman.

“Pada masa ini saya tidak dapat mendedahkan identiti dua lagi individu sehingga mereka tampil membantu siasatan,” katanya.

Katanya, kes Sofi Jikan disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta dua lagi individu terbabit dilakukan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya. – WD MY