BACHOK, 16 Mac – JANJI…… Pembinaan hospital dan menaik taraf Pengkalan Petah adalah antara sembilan janji yang akan ditunaikan oleh Kerajaan Persekutuan kepada penduduk di daerah ini, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Tujuh lagi janji itu adalah pembinaan Kolej Profesional MARA (KPM); kerja menaik taraf Jalan Bukit Marak-Bekelam ke Pengkalan Cina dan membina jambatan merentasi Kemasin di Kampung Pengkalan Ali yang keseluruhannya membabitkan kos melebihi RM300 juta.

Ahmad Zahid berkata, beliau akan memastikan semua janji berkenaan akan ditunaikan demi penduduk di Bachok.

“Penduduk di Bachok, jangan marah kepada Datuk Dr Awang Adek Hussin kerana saya datang ke sini untuk menyelesaikan masalah yang ada.

“Cukuplah masalah dalaman yang berlaku di Bachok dan perkara itu perlu diselesaikan kerana kita mahu menebus semula maruah di Kelantan, khususnya empat kerusi (Parlimen dan Dewan Undangan Negeri) di Bachok,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Bantuan Sara Hidup Petani dan Nelayan di Pantai Irama.

Pada majlis berkenaan, Zahid turut meluluskan peruntukan sebanyak RM6 juta bagi kemudahan penduduk di daerah ini.

Katanya, peruntukan itu meliputi kos pembinaan dan baik pulih rumah sebanyak RM2.5 juta, baik pulih masjid RM2 juta, pembinaan pejabat Persatuan Nelayan RM1 juta dan bantuan ibu tunggal RM500,000.

“Macam-macam Kerajaan Pusat bagi kepada rakyat Kelantan dan Bachok. Maka, berterima kasihlah kepada kerajaan yang berusaha memberi peruntukan.

“Cukuplah PAS memerintah Kelantan selama 27 tahun. Kali ini berilah peluang kepada Barisan Nasional (BN),” katanya. – WD MY