HONG KONG, 16 Feb – Tingkatkan…. Pembunuhan abang tiri pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un, di sebuah lapangan terbang di Malaysia meletakkan China dalam keadaan berjaga-jaga.

Malah, Beijing mungkin menghantar lebih ramai tentera di sempadan negara itu bagi menghadapi kemungkinan berlakunya perkara tidak diingini.

Agensi berita Korea Selatan, Yonhap, melaporkan jurucakap Kementerian Luar China, Geng Shuang, sebagai berkataan, kerajaan republik itu memberi perhatian serius terhadap laporan membabitkan pembunuhan Kim Jong Nam.

“Kami mengikuti perkembangan kes ini,” katanya sambil menambah tidak boleh mengesahkan sama ada keluarga Jong Nam menetap di Macau, sebuah wilayah pentadbiran khas di China.

Menurut perkhidmatan risikan Seoul, Jong Nam, 45, dipercayai mempunyai dua keluarga di China. Isteri pertama dan anak lelakinya tinggal di Beijing, manakala isteri kedua menetap bersama dua anak mereka iaitu seorang lelaki dan seorang perempuan di Macau.

Kejadian itu turut membimbangkan China berhubung ketidakstabilan di sempadannya dengan Korea Utara.

Pertubuhan bukan kerajaan di Hong Kong, Pusat Maklumat Hak Asasi Manusia dan Demokrasi, berkata pembunuhan itu mungkin menjadi sebab Beijing meningkatkan jumlah tentera di sempadan.

Akhbar Hong Kong, Oriental Daily News, melaporkan China mengerahkan 1,000 tentera tambahan ke kawasan terbabit dan beberapa penduduk tempatan mengesahkan ketibaan mereka.

Bagaimanapun, Beijing tidak mengeluarkan kenyataan mengenai pergerakan tentera terbaru itu. – WD MY