KUALA LUMPUR, 9 Mac – Perketat Kawalan…… Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi jaminan keselamatan sempadan Malaysia-Thailand terkawal dan pihak berkuasa berupaya menangkis ancaman luar yang cuba menceroboh sempadan negara.

Ahmad Zahid berkata, keselamatan di sempadan akan sentiasa diberi perhatian khusus, namun pada masa sama keupayaan kewangan kerajaan perlu diberi perhatian dengan mengambil kira kos tinggi bagi menyediakan prasarana.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, aspek kekuatan anggota pasukan penguatkuasaan di sempadan negara turut memerlukan perhatian.

“Kementerian Dalam Negeri (KDN) melihat isu keselamatan sempadan dan kedaulatan negara sebagai elemen yang signifikan terhadap kesejahteraan hidup rakyat dan pembangunan negara secara berterusan.

“Malaysia tidak terkecuali dalam menghadapi pelbagai bentuk ancaman yang boleh menggugat keselamatan dan kedaulatan negara.

“Justeru, keselamatan sempadan diperketat dari semasa ke semasa supaya tidak mudah dibolosi oleh anasir luar yang boleh mengganggu gugat kestabilan negara,” katanya dalam jawapan bertulis kepada Nasrudin Hassan (PAS-Temerloh) di Dewan Rakyat, hari ini.

Nasrudin meminta Menteri Dalam Negeri menyatakan keadaan keselamatan di sepanjang sempadan Malaysia-Thailand dan langkah yang dilaksanakan bagi meningkatkan jaminan keselamatan terutama di pintu masuk ke negara ini.

Sempadan negara dipisahkan oleh daratan atau perairan atau kedua-duanya sekali dengan Indonesia, Brunei, Thailand, Singapura dan Filipina.

Sempadan Malaysia-Thailand di utara meliputi Bukit Batu Putih, Perlis hingga Bukit Bunga, Kelantan dipisahkan oleh daratan sejauh 551 kilometer dan sempadan talweg dari Bukit Bunga, Kelantan hingga Pengkalan Kubor, Kelantan sejauh 105 kilometer.

Ahmad Zahid berkata, kerajaan mengambil pelbagai pendekatan dalam memastikan sempadan Malaysia-Thailand terkawal sepanjang masa.

Katanya, antara langkah dilaksanakan ialah penubuhan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) sebagai inisiatif meningkatkan kawalan sempadan bagi mencegah penyeludupan.

Agensi penguatkuasaan di bawah AKSEM meliputi Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Agensi Antidadah Kebangsaan serta Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara.

“Bagi menentukan hala tuju AKSEM, Akta AKSEM akan digubal bagi memperkukuh serta memperluas skop memerangi aktiviti jenayah rentas sempadan di seluruh negara.

“Pendekatan dan langkah lain ialah melaksanakan kajian menaik taraf pagar keselamatan sedia ada dan pembinaan pagar keselamatan baharu di sempadan.

“Ini dibuat dengan memberi tumpuan penggunaan peralatan canggih seperti dron, kamera litar tertutup (CCTV), mesin pengimbas untuk mengesan pergerakan dan barangan yang dibawa masuk dan keluar Malaysia,” katanya. – WD MY