KUALA LUMPUR, 14 Dis – Sebanyak 16 jenis barangan makanan segar
akan dikenakan kawalan harga bermula 23 hingga 27 Dis ini bersempena sambutan
Hari Krismas 2015.

Menurut Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Datuk
Seri Hamzah Zainuddin berkata pelaksanaan skim kawalan harga itu akan melibatkan
149 kawasan dan daerah di seluruh negara.

Makanan yang akan dikenakan harga maksimum di bawah Skim Kawalan Harga Musim
Perayaan Krismas 2015 ialah ayam hidup dengan harga maksimum RM5.80 sekilogram,
ayam standard (RM7.30/kg), ayam super (RM8.10/kg), daging kambing tempatan
bertulang (RM36/kg), daging kambing biri-biri import bertulang (RM21/kg).

Daging kambing biri-biri import tanpa tulang (RM26/kg), daging paha kambing
biri-biri import bertulang (RM24/kg), telur ayam gred A (RM0.38 sebiji), gred B
(RM0.37), gred C (RM0.36), tomato (RM4.50/kg) dan lada benggala hijau (RM9/kg).

Kawalan harga maksimum bagi kepak ayam, daging babi (perut), daging babi
(daging dan lemak) dan babi hidup (kawalan di peringkat ladang sahaja) hanya
ditetapkan di Sabah, Sarawak dan Labuan.

Katanya peniaga digalakkan menjual barangan itu lebih rendah daripada harga
maksimum jika peniaga memperolehnya dengan harga lebih rendah serta meletakkan
tanda harga berwarna merah jambu untuk barangan berkenaan.

Kegagalan mematuhi boleh menyebabkan mereka didenda sehingga RM10,000 di
mahkamah atau kompaun sehingga RM5,000 bagi individu dan denda RM20,000 atau
dikompaun sehingga RM10,000 bagi syarikat, katanya.

“Peniaga yang menjual barang harga terkawal melebihi harga maksimum pula
boleh didenda sehingga RM100,000 atau dipenjara tidak lebih tiga tahun
atau kedua-duanya sekali atau dikompaun sehingga RM50,000,” katanya. – Sofea Nawar (WD MY)

LEAVE A REPLY