PUTRAJAYA, 4 Jun – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata
kerjasama strategi lautan biru akan dilakukan bagi membolehkan pelbagai jabatan dan
agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM),
Jabatan Imigresen, Kastam dan pihak penguatkuasaan lain dilibatkan dalam mengawal sempadan negara.

Menurut Ahmad Zahid Hamidi, walau bagaimanapun pembinaan tembok sempadan
atau pagar sempadan wajib dilakukan kerana tanpa sempadan yang kukuh sukar
bagi mana-mana agensi pelaksanaan untuk melaksanakan penguatkuasaan.

“Perdana Menteri meminta perincian (kerjasama pelbagai agensi) disediakan
dalam waktu terdekat untuk pelaksanaannya. Kerjasama ini akan melibatkan
kombinasi antara pelbagai jabatan.

“Barisan hadapan pertahanan negara adalah ATM namun dari segi penguatkuasaan
dan pengambilan tindakan perundangan adalah Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan
kuasa di bawah Jabatan Imigresen,” katanya.

Ahmad Zahid ditemui media selepas perhimpunan bulanan Kementeriannya di sini.

Tambah beliau, pembinaan tembok sempadan, KDN terima lima cadangan untuk
pembinaan tembok dan aset-aset bagi pemantauan keselamatan di sempadan negara.

Cadangan berkenaan akan serahkan pada agensi yang terlibat dalam memberikan
kelulusan untuk pembinaan tembok sempadan itu dan memutuskan sistem yang terbaik
bagi pelaksanaannya.

Jelas Ahmad Zahid, negara yang mempunyai tembok dan pagar sempadan yang kukuh
turut dibolosi imigran sebagai contoh sempadan di antara Amerika Syarikat
(Amerika) dan Mexico yang mempunyai pagar canggih dan kukuh tetapi di Amerika
terdapat 11 juta pendatang asing tanpa izin.

“Apatah lagi jika kita tidak ada pagar atau tembok sempadan yang kukuh tentu
kebolosan ini mudah berlaku. Bukan sahaja kebolosan dari segi pemerdagangan
manusia, ada kebolosan kemasukan senjata api, dadah dan keluarnya barang-barang
yang bersubsidi,” kata beliau.

Ahmad Zahid tidak menolak penyeludupan berlaku di sempadan negara kerana unsur
rasuah dan lapan petugas peringkat bawahan yang dikesan terlibat sudah dikenakan
tindakan dan menghadapi siasatan dalaman.

Mereka (yang dikesan terlibat rasuah) tidak akan terlepas, katanya.-Sofea Nawar (WD MY)

LEAVE A REPLY