BAGAN DATUK, 27 April – NASIHAT…… Semua  calon dan penyokong Barisan Nasional (BN) serta  pembangkang perlu menjaga tata susila dan mematuhi  etika  semasa proses penamaan calon pada  Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang akan berlangsung esok di seluruh negara.

Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata pihaknya sudah mengeluarkan arahan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) supaya menjaga keamanan di sekitar kawasan pusat penamaan calon.

Beliau berkata pasukan keselamatan diingatkan supaya tidak memihak kepada mana-mana pihak jika tercetus sebarang kekecohan atau kekacauan di kawasan pusat penamaan calon.

“Saya berharap apabila proses penamaan calon dilakukan, tiada sebarang insiden berlaku di seluruh negara dan tidak berlaku kekecohan. Arahan sudah dikeluarkan kepada Ketua Polis Negara, Ketua Polis Negeri dan Pesuruhjaya Polis Negeri bagi menjaga keamanan.

“Kita tahu ini proses demokrasi, walau berbeza pendapat (politik), imej kita di sedang diperhatikan oleh pihak luar,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan di sekitar Waterfront Bagan Datuk hari ini.

Ahmad Zahid, yang mempertahankan kerusi Parlimen Bagan Datuk berkata, beliau turut dimaklumkan ramai individu telah membeli borang penamaan calon untuk bertanding sebagai calon bebas pada PRU14.

“Saya berharap penyokong mereka  sama ada ramai atau tidak supaya mengutamakan ketertiban ketika proses penamaan calon berlangsung,” katanya. – WD MY