JASIN, 1 Jun – Semua dron atau kenderaan udara tanpa pemandu
(UAV) perlu mendapat kelulusan daripada Jabatan Penerbangan Awam (DCA) sebelum
ia diterbangkan, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Menurut beliau kelulusan itu penting bagi memastikan penggunaan dron atau
UAV di negara ini terkawal dan tidak menjejaskan penerbangan pesawat di ruang
udara negara terutamanya di kawasan lapangan terbang.

Sehubungan itu, beliau berkata DCA akan membuat kajian menyeluruh berhubung
perkara itu dan melaksanakan penguatkuasaan pendaftaran untuk penggunaan dron
atau UAV dengan secepat mungkin.

“Pada masa ini beberapa siri penerangan dan dialog giat dijalankan di
peringkat negeri sebelum kita mengeluarkan sebarang peraturan keselamatan yang
baharu,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Liow berkata pemilik dan peminat pesawat persendirian diingatkan agar
sentiasa peka dan mematuhi segala undang-undang dan peraturan yang ditetapkan
oleh DCA bagi menjamin keselamatan ruang udara negara.-Suraya Ahmad (WD MY)

LEAVE A REPLY