KUALA LUMPUR, 9 Sept – PRU…. Muhyiddin Yassin mahu pemimpin politik dalam Perikatan Nasional (PN) membuang perasaan cemburu dan iri hati antara 1 sama lain dan bekerja keras seolah-olah pilihan raya umum akan diadakan esok.

Presiden PPBM itu berkata, untuk berjaya dalam pilihan raya tidak ada pilihan lain kecuali kukuhkan semangat dan mengelakkan perpecahan.

“Kita sudah mulakan langkah ini dan diharap diteruskan pada masa akan datang. Marilah kita berganding bahu bekerja rapat dengan beramanah dan berintegriti supaya kita disokong segenap rakyat.

“Yang penting untuk ke hadapan, bagaimana kita nak tentukan usaha yang kita jalinkan membuahkan sesuatu yang bermanfaat, sebab itu kita harus sepakat berbincang secara baik.

“Mengenai PRU, jangan tanya saya bila yang penting berkerja bersungguh seolah-olah esok akan diadakan,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Ulang Tahun PPBM Ke-4 hari ini.

Hadir sama Timbalan Presiden PPBM, Ahmad Faizal Azumu, Setiausaha Agung PPBM, Hamzah Zainudin serta kepimpinan tertinggi dan sayap parti.

Mengulas kejayaan parti itu sehingga kini, beliau berkata walaupun dalam tempoh singkat, PPBM yang ditubuhkan pada September 2016 melakar sejarah penting bukan saja dalam negara tetapi dalam kepimpinan negara.

“Perjalanan 4 tahun tempoh yang singkat, saya masih ingat betapa kita sama-sama mencetuskan idea untuk membentuk plaftorm baru pada awalnya bagi menentukan situasi politik yang tidak menentu.

“Ia lahir dari kesedaran dan keinsafan mengenai tanggungjawab yang besar terhadap situasi dalam negara maka hendaklah kita anjurkan wadah politik baru,” katanya.

Menyifatkan kerajaan ditunjanginya turut diterima ahli bukan PPBM, perdana menteri berkata inilah saat penting untuk memikirkan wadah perjuangan dalam memikul tanggungjawab membawa Malaysia ke masa depan yang lebih gemilang.

“Sebab itu sebagai sebuah pertubuhan politik walaupun baru hari ini kita mengetuai kerajaan saya hendak rakam syukur dan terima kasih kepada rakan parti yang bersama dalam PN, sehingga Agong memilih saya sebagai perdana menteri ke-8,” katanya. – WD MY