NEW YORK, 21 Sept – Tidak Perlu Bimbang…… Parti komponen Barisan Nasional (BN) serta Umno tidak perlu bimbang dengan cadangan persempadanan semula kawasan pilihan raya yang dikemukakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata ini kerana semua parti diberikan tempoh mencukupi untuk meneliti cadangan itu dan mengemukakan maklum balas kepada SPR.

“Urusan persempadanan semula kawasan pilihan raya adalah menjadi hak mutlak SPR akan tetapi semua parti boleh meneliti cadangan itu. Saya tidak fikir parti komponen BN boleh bersetuju dengan semua cadangan itu dan pembangkang pula tidak bersetuju dengan cadangan itu.

“Apa yang penting semua parti diberikan waktu mencukupi untuk meneliti dan membuat bantahan serta memberi maklum balas kepada SPR. Maka UMNO dan parti komponen BN jangan bimbang. Malah parti baharu yang baru diluluskan pendaftarannya oleh ROS (Pendaftar Pertubuhan) juga boleh mengambil bahagian untuk meneliti jika berminat,” katanya.

Timbalan Perdana Menteri berkata demikian pada sidang media bersama wartawan Malaysia selepas menghadiri majlis makan malam yang dihoskan Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama di sini.

Ahmad Zahid berkata, oleh kerana cadangan persempadanan semula kawasan pilihan raya ini menimbulkan polemik, Majlis Tertinggi (MT) UMNO dan pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) akan membincangkan perkara itu hujung minggu ini.

“Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak selaku Pengerusi BN akan bermesyuarat hujung minggu ini dengan pemimpin parti komponen bagi membincangkan perkara ini. Begitu juga dalam mesyuarat MT UMNO (akan dibincangkan), pada minggu ini,” katanya. – WD MY

LEAVE A REPLY