PORT DICKSON, 6 April – Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata usaha
membawa balik rakyat Malaysia yang berada di sana sedang diuruskan oleh Majlis
Keselamatan Negara.

Menurut beliau, Kerajaan berharap agar semua rakyat Malaysia yang berada di Yaman memberikan
kerjasama sepenuhnya untuk dibawa pulang ke Malaysia memandangkan keadaan
di negara Asia Barat itu masih membimbangkan.

“Jangan ambil mudah apa yang berlaku sekarang di Yaman dan yang paling
penting Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dah beri jaminan kita akan
buat apa saja yang patut untuk memastikan warganegara dan pelajar-pelajar kita
selamat.”

Beliau ditemui media selepas merasmikan Bengkel Interaksi Ketenteraan Awam di Pusat
Pengaman Malaysia hari ini.

Tambah beliau, kerajaan akan sentiasa memantau rapat setiap perkembangan
yang berlaku di Yaman.

“Saya harap dan saya merayu kepada pelajar-pelajar kita yang berdaftar dan
tidak berdaftar agar berilah kerjasama rapat kepada usaha kita ini kerana
keadaan di sana membimbangkan.

Ada yang pergi secara sendirian dan ada juga yang tidak mahu balik mungkin
kerana mereka rasakan keadaan dan lokasi mereka berada itu tidak menjejaskan
keselamatan mereka, tetapi maklumat yang kita terima dan apa yang kita dengar,
kita jangan ambil mudah sebab negara-negara lain pun dah memindahkan warganegara
mereka dari Yaman,” katanya.

Dalam perkembangan terbaru, 156 rakyat Malaysia yang dibawa keluar dari
Yaman berikutan pergolakan di negara itu, dijangka mulai pulang ke tanah
air mulai hari ini.

Sementara itu, Hishammuddin berkata bengkel yang berhubungkait dengan
bantuan kemanusiaan dan bantuan bencana ini merupakan salah satu inisiatif
penting yang mendapat sokongan daripada setiap menteri pertahanan di ASEAN.

“Ia merupakan jambatan untuk menyatu padu berhubungkait dengan bencana dan
mengambil tindakan yang proaktif untuk menghadapinya.

Ini juga adalah inisiatif untuk kita terus memperkukuhkan lagi hubungan
antara negara-negara ASEAN dan hubungan dengan negara-negara seperti Australia,
China dan Amerika Syarikat,” katanya.-Suraya Ahmad (WD MY)

LEAVE A REPLY