PUTRAJAYA, 2 Mac – Mulai….. Pada Isnin depan, semua warga Korea Utara yang melawat ke Malaysia perlu mendapatkan visa, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid, berkata keputusan penguatkuasaan itu dibuat selepas kerajaan mengambil kira soal keselamatan negara.

“Kita akan wartakan penguatkuasaan ini menerusi Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Imigresen mulai Isnin ini,”

Ahmad Zahid berkata demikianpada sidang media selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2016 Kementerian Dalam Negeri di sini, hari ini.

Selama ini, Malaysia tidak mengenakan sebarang visa ke atas pelancong Korea Utara, tetapi rakyat negara ini perlu memohon visa untuk ke negara berkenaan.

Bagaimanapun, tidak ramai pelancong dari Korea Utara datang ke Malaysia kerana rakyat negara itu tidak dibenarkan keluar dari negara mereka.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri, turut memberi amaran kepada semua diplomat Korea Utara supaya tidak mempermainkan Malaysia dan menjadikan negara ini sebagai tapak untuk menjayakan agenda kerajaan mereka.

“Saya nasihatkan diplomat Korea Utara, sama ada di Malaysia atau organisasi antarabangsa, jangan anggap Malaysia seperti negara yang pernah mereka perkotak-katikkan.

“Kita tegas untuk menjamin keselamatan rakyat. Jangan guna Malaysia sebagai tapak untuk mereka melakukan kerenah,” katanya. – WD MY