PUTRAJAYA, JUN 1: SENARAI…Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) mengeluarkan senarai harga baharu bagi kesemua model keretanya susulan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) berkadar sifar peratus berkuat kuasa 1 Jun 2018.

Dalam kenyataan, syarikat itu berkata, secara purata harga kenderaannya akan turun 5.6 peratus​​​​​​​ daripada harga sebelum ini.

“Sesetengah model akan menjadi lebih murah sebanyak sehingga RM3,500 dengan GST berkadar sifar peratus. Sejajar dengan pengumuman kerajaan bahawa Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) akan diperkenalkan semula pada September, kami menggalakkan rakyat Malaysia untuk memanfaatkan tempoh tanpa cukai​​​​​​​ selama tiga bulan ini,” menurut Perodua.

Susulan itu, pembayaran semula GST oleh Perodua atas pembelian, perkhidmatan dan alat ganti bagi​​​​​​​ tempoh 31 hingga 18 Mei akan berakhir memandangkan kadar sifar peratus GST ditetapkan ke atas pelanggan​​​​​​​ mulai 1 Jun ini.

Sebagai tambahan kepada sifar peratus GST, Perodua kini menawarkan rebat sehingga ​​​​​​​RM800 bagi​​​​​​​ model dan varian terpilih pada Jun.-MY WD