KUALA LUMPUR,SEPETEMBER 16:HARGA KERETA…Datuk Seri Najib Razak mengakui beliau mungkin silap kerana tidak membuat kenyataan akhbar bagi mengumumkan harga semua kereta turun apabila Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dilaksanakan pada 2015.

Bekas Perdana Menteri berkata, beliau sepatutnya mengumumkan harga semua kereta turun ketika GST dilaksanakan seperti dilakukan seorang ‘individu’ yang mengumumkan lima jenama kereta turun harga apabila Cukai Barang dan Cukai Jualan (SST) dilaksanakan melalui kenyataan dan sidang media.

“Tidak seperti pelaksanaan GST, ada juga kereta yang naik harga dengan SST tetapi tidak disebut dalam kenyataannya,” katanya dalam entri di akaun Facebooknya, SEMALAM.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng baru-baru ini memberikan senarai lima jenama kereta yang menunjukkan penurunan harga selepas pelaksanaan SST.

Antara lima jenama kereta itu ialah Perodua, Honda, Toyota, Volkswagen dan BMW dengan penurunan harga antara RM2,000 hingga RM3,000.

Najib berkata, selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), beliau menonton klip video Datuk Ahmad Maslan yang berkata harga barang akan turun apabila GST dilaksanakan.

“Sebenarnya, Datuk Ahmad betul kerana memang ada barang yang alami penurunan harga apabila GST dilaksanakan seperti kereta, alat ganti, tayar, minyak pelincir, perabot, alat-alat elektronik dan lain-lain. (Barang ini dinaikkan harga semula berbanding GST apabila SST dilaksanakan dua minggu lalu).

“Inilah yang sebenarnya dimaksudkan dan dijelaskan oleh beliau – bukan semua barang. Saya mendapati sesi temubual televisyen mengenai GST dengan Datuk Ahmad Maslan itu selama satu jam.

“Tetapi sesi TV beliau disunting menjadi 15 saat saja oleh pakar propaganda Pakatan Harapan (PH) yang mahu membina persepsi bahawa beliau kata semua barang akan turun harga semata-mata untuk memburukkan beliau dan kerajaan Barisan Nasional (BN).

“Oleh kerana klip 15 saat ini sangat viral, maka ramai yang tertipu dan tidak mendengar penjelasan sebenar atau penjelasan penuh wawancara satu jam itu,” katanya.

Bekas Presiden UMNO itu menyifatkan apa yang berlaku itu sangat tidak adil tetapi ia antara cara PH menggunakan propaganda yang jelas kurang jujur.

“Anda boleh baca laporan berita mengenai setiap jenama kereta yang turun harga dengan GST pada 2015 di http://paultan.org/tags/2015-gst-car-prices/.

“Selain harga turun apabila GST menggantikan SST pada 2015, kerajaan BN di bawah saya juga memansuhkan cukai impot untuk kereta dari Jepun dan memberi insentif EEV yang banyak mengurangkan harga kereta yang jimat petrol,” .MY WD