PUTRAJAYA, NOVEMBER 20:  Senarai organisasi Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator P. Waytha Moorthy yang menerajui Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional menjadi viral di media sosial berikutan keanggotaannya dikatakan tidak mencerminkan masyarakat pelbagai kaum di negara ini.

Rata-rata netizen mempersoalkan mengapa kedudukan di Pejabat Menteri itu bagi jawatan Setiausaha Sulit Kanan, Setiausaha Politik, Pegawai Tugas-Tugas Khas, Setiausaha Akhbar dan Setiausaha Sulit hanya diduduki satu kaum sahaja.

Antara komen dalam media sosial adalah pengguna Twitter bernama Ed Dev yang berkata “Perlu tindakan serius kerajaan PH (Pakatan Harapan). Tidak sesuai dengan objektif atau tujuan untuk membentuk perpaduan. Perlu ada banyak kaum di situ, jika tidak ia akan menjadi Kementerian Perpaduan untuk kaum India sahaja,”.

Kebanyakan netizen berpendapat Pejabat Menteri itu perlu memberi contoh yang terbaik bagi mewakili kepelbagaian kaum di negara ini sekiranya benar-benar hendak memupuk semangat perpaduan rakyat Malaysia.

“Nama jabatan ini adalah Jabatan Perpaduan Negara Dan Integrasi Nasional. Memang sungguh nampak perpaduan kaum di kalangan pegawainya,” sindir seorang pengguna twitter, Don Juan Deryezal.

Waytha Moorthy sebelum ini telah pun menerima kecaman pelbagai pihak berhubung isu ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) yang disifatkan sebagai menentang semangat Perlembagaan Persekutuan.

Penularan kembali video wawancara Waytha Moorty kira-kira 10 tahun lalu di Belanda juga menimbulkan polemik dan kemarahan masyarakat umum kerana dilihat telah memanipulasikan beberapa fakta berkaitan layanan terhadap masyarakat India di negara ini.-MY WD