KUALA LUMPUR, 7 Mac – Sentiasa….. Pegawai penguat kuasa dan anggota
keselamatan di kawasan sempadan negara ditukarkan lebih kerap bagi mengelak
mereka terlibat dengan kegiatan rasuah, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri
Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata tindakan itu diambil
untuk memastikan mereka tidak terlibat dengan pihak tempatan dan penyeludup bagi
mengelak jenayah sempadan termasuk pemerdagangan manusia.
“Kami telah lakukan tindakan, pegawai ditukarkan lebih kerap lagi
agar mereka tidak lakukan ‘engagement’ (terlibat) dengan pihak tempatan serta
para penyeludup dan para pemerdagangan manusia.
“Bila pertukaran lebih kerap (dibuat), pemantauan juga lebih efektif,”
katanya pada sesi pertanyaan menteri pada persidangan Dewan Rakyat di sini, hari
ini.
Beliau menjawab soalan Nurul Izzah Anwar (PKR-Lembah Pantai) yang bertanya
mengenai tindakan berhubung dakwaan bahawa 80 peratus pegawai penguat kuasa
sempadan dan anggota keselamatan terlibat rasuah sempadan sehingga berlakunya
kebolosan.

Nurul Izzah mendakwa kegiatan rasuah itu didapati berlaku hasil risikan
pihak tertentu.

Ahmad Zahid menegaskan kerajaan memandang serius dakwaan tentang anggota
keselamatan sempadan terlibat dalam rasuah.
“Terdapat kes-kes sekarang ini, tetapi kecil. Bagaimanapun, kami memandang
serius perlakuan yang tidak baik ini dari segi imej dan perundangan,” katanya.
Beliau berkata Kementerian Dalam Negeri mengambil tindakan dengan
memobilisasikan Pasukan Gerakan Am dan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) untuk
meningkatkan kawalan di sempadan berbanding sebelum ini. – WD MY