BAGAN DATOH, 6 Ogos – Sentiasa Turun Padang….. Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi teguran agar pemimpin bahagian Umno sentiasa turun padang dan utamakan masyarakat.

“Jangan hanya turun kawasan, tunjuk muka bila saya balik,” demikian teguran Timbalan Perdana Menteri kepada pemimpin UMNO bahagian.

Naib Presiden UMNO itu berkata, terdapat segelintir pemimpin UMNO peringkat bahagian yang hanya turun bertemu rakyat di peringkat akar umbi apabila beliau melawat kawasan berkenaan.

“Saya berharap pemimpin di Bagan Datoh turun ke bawah, turun ke akar umbi, ketua cawangan, ketua Pemuda, ketua Wanita dan ketua Puteri, jangan tunjuk muka ketika saya balik sahaja.

“Mereka (pemimpin) tahu saya sibuk, tapi mereka pun buat-buat sibuk. Bila saya balik baru nak tunjuk muka. Apa punya pemimpin? katanya sambil disambut tepukan gemuruh oleh hadirin.

Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datoh berkata, demikian dalam ucapan dasar pada mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian Bagan Datoh 2016 di sini hari ini yang dihadiri 477 perwakilan.

Mesyuarat itu dirasmikan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Ahmad Zahid menasihati pemimpin peringkat bahagian yang dipilih supaya tidak hanya turun padang bertemu rakyat apabila adanya pilihan raya atau pemilihan parti.

“Turunlah…rakyat sentiasa melihat gelagat pemimpin, sekecil manapun rakyat sentiasa melihat (pemimpin),” katanya.

Beliau menarik perhatian bahawa dalam keadaan serba canggih sekarang, pemimpin UMNO bahagian perlu menukar cara serta sistem komunikasi untuk lebih mendekati rakyat.

“Tidak dinafikan media sosial mempengaruhi pemikiran dan pola sokongan kepada kita.

“Di Bagan Datoh ini, 60 peratus pengundi di kawasan ini bekerja di sini, manakala 40 peratus lagi bekerja di luar dan mereka ini mampu mempengaruhi pola (pengundi) yang lain,” katanya. – WD MY

LEAVE A REPLY