IPOH, 7 Jun – MAUT……. ┬áKanak-kanak berusia 11 tahun maut manakala tiga lagi ahli keluarganya dirawat di Hospital Seri Manjung (HSM), dipercayai akibat keracunan makanan.

Kanak-kanak lelaki berkenaan meninggal dunia akibat komplikasi ketika menerima rawatan di HSM semalam manakala tiga ahli keluarganya itu kini berada di dalam keadaan stabil dan beransur pulih.

Pengarah Kesihatan Perak, Dr Ding Lay Ming, berkata jabatan itu menerima laporan satu kejadian keracunan makanan membabitkan tujuh sekeluarga di Kampung Changkat Chermin, Ayer Tawar, pada Sabtu lalu.

“Gejala dialami mereka adalah sakit perut, cirit-birit, muntah, dehidrasi, keletihan dan demam, serta seorang mengalami sawan, bermula antara jam 1 hingga 5 pagi pada Jumaat lalu.

“Mereka mendapatkan rawatan awal di klinik swasta pada hari berkenaan.

“Empat kes (orang) kemudian telah dimasukkan ke HSM untuk rawatan lanjut, sebelum seorang daripadanya meninggal dunia akibat komplikasi,” katanya dalam satu kenyataan malam TADI.

Dr Ding berkata, bagaimanapun siasatan di fasiliti kesihatan di sekitar lokasi gerai makanan di tepi jalan Simpang Gelung Pepuyu, dan bazar Ramadan di Titi Gantung mendapati tiada peningkatan kejadian kes ‘Acute Gastroenteritis’ dan keracunan makanan dikesan sejak 31 Mei lalu hingga sekarang.

Justeru, katanya, kejadian itu adalah kes terpencil dan hanya membabitkan keluarga itu sahaja dan jabatan berkenaan sedang menyiasat punca kejadian. – WD MY