KUALA LUMPUR, 28 Okt – MAUT….. Wanita maut manakala lima lagi mengalami sesak nafas selepas kediaman mereka di Lorong Maarof, Bangsar di sini, terbakar awal pagi tadi.

Pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Pantai yang bergegas selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 4.11 pagi, berjaya menyelamatkan lima mangsa termasuk seorang pembantu rumah yang terperangkap dalam kediaman dua tingkat itu.

Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur Khirudin Drahman, berkata anggota bomba terpaksa memecah pintu masuk ke kediaman yang mempunyai enam bilik untuk menyelamatkan semua mangsa yang terperangkap.

Katanya, sebaik saja anggota bomba berjaya memecahkan pintu kediaman terbabit, dua daripada mangsa meluru lari keluar dalam keadaan sesak nafas, namun tidak cedera.

“Bagaimanapun, seorang mangsa yang juga wanita dianggarkan berusia 50-an dikenali sebagai Kamadevi yang ditemui di bahagian tangga kediaman terbabit didapati sudah meninggal dunia.

“Mangsa dipercayai cuba turun ke bahagian bawah rumah terbabit untuk menyelamatkan diri, namun gagal,” katanya.

Katanya lagi, mangsa keempat yang juga seorang remaja perempuan berusia belasan tahun ditemui sedang menangis dalam sebuah bilik di aras bawah kediaman berkenaan manakala dua lagi mangsa ditemui dalam keadaan terbaring akibat sesak nafas dalam dua buah bilik berasingan di tingkat atas.

“Kesemua mangsa terdiri daripada seorang lelaki dan empat wanita berusia antara 12 hingga 60 tahun yang mengalami sesak nafas itu kemudian dikejarkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya untuk rawatan,” kata Khirudin.

“Ketika pasukan bomba sampai ke lokasi, api sedang marak di bahagian ruang tamu yang terletak di tingkat bawah, namun kebakaran berjaya dikawal pada jam 4.46 pagi,” tambah beliau. – WD MY