KUANTAN, 2 Feb – RUGI…… Sepasang suami isteri kerugian RM241,080 selepas ditipu tiga individu yang menyamar sebagai pegawai bank dan ejen pinjaman peribadi.

Mangsa, Yin Kah Hing, 47, yang juga ahli perniagaan berkata, dia dan isterinya, Lai Chiew Ling, 35, ditawar pinjaman berkenaan menerusi aplikasi WhatsApp pada September tahun lalu.

Katanya, mereka pada mulanya agak ragu untuk membuat permohonan pinjaman itu, namun beberapa kali dirayu pegawai bank yang mendakwa boleh membantunya mendapatkan pinjaman sehingga RM500,000.

“Mereka kata saya boleh mendapatkan pinjaman RM250,000 dan boleh mencecah sehingga RM500,000 sekiranya layak. Saya agak ragu pada mulanya, namun mereka tetap memujuk saya dan jika pinjaman sebanyak RM250,000 diluluskan, saya hanya perlu membayar RM900 sebulan berserta faedah serendah 3.3 peratus saja,” katanya.

Terperdaya dengan tawaran itu, Kah Hing akhirnya bersetuju dan merancang memantapkan perniagaan jubinnya.

Kah Hing berkata, individu berkenaan turut menunjukkan beberapa salinan dokumen pinjaman yang kononnya diluluskan itu dengan pengesahan lambang Kerajaan Malaysia dan Bank Negara menerusi aplikasi WhatsApp.

Beliau berkata, tidak lama kemudian mereka memintanya memasukkan wang untuk proses seterusnya atas alasan jumlah wang pinjaman yang bakal diterima terlalu banyak.

“Walaupun kami sedikit hairan tetapi tetap memasukkan wang menerusi akaun milik seorang daripada mereka mengikut jumlah ditetapkan di antara RM1,200 sehingga mencecah RM22,500 hampir setiap hari dan minggu.

“Bagi meyakinkan kami, mereka akan menghantar gambar cek yang tertera jumlah pinjaman yang bakal diterima dan menyatakan pinjaman berkenaan sudah diluluskan,” katanya.

Beliau juga hanya menyedari dirinya ditipu selepas wang pinjaman yang didakwa sudah diluluskan itu masih belum diterima walaupun selepas tiga bulan.

Katanya, sindiket berkenaan masih memintanya memasukkan wang sebanyak RM5,000 untuk mendapatkan pinjaman berkenaan.

“Jika kami menuruti kehendak mereka, bukan saja wang pinjaman itu dapat diperoleh tetapi mereka juga akan mengembalikan wang RM241,000 yang dibayar untuk proses pinjaman berkenaan. Saya tidak menghiraukan permintaan mereka dan baru-baru ini mendapati talian telefon bimbit mereka sudah tidak dapat dihubungi,” katanya.

Katanya, dia sudah membuat laporan polis berhubung kejadian itu pada 22 November lalu. – WD MY