PUTRAJAYA, 30 Mac – Rasuah….. Pihak SPRM minta individu yang cuba merasuah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, berhubung anugerah darjah kebesaran membawa gelaran ‘Tan Sri’, diberi tempoh hingga tengah malam ini untuk menyerah diri kata Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Azam Baki.

Azam Baki berkata kegagalan berbuat demikian akan mendorong pihaknya mendedahkan identiti individu terbabit, termasuk mengedarkan gambarnya menerusi media.

Azam berkata, maklumat individu berkenaan diperoleh dalam pertemuan dengan Sultan Johor yang menerima mengadap Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad, Isnin lalu.

“Setakat ini kita hanya boleh mendedahkan individu itu berketurunan Cina dan berkepala botak.

“Dia perlu keluar daripada persembunyian dan hadir ke ibu pejabat SPRM untuk membantu siasatan.

“Kita tahu dia masih berada dalam negara dan kita sudah minta pihak berkaitan menghalangnya dari meninggalkan negara ini,” katanya kepada selepas menghadiri Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Anugerah Khas Ketua Pesuruhjaya SPRM 2016.

Seramai 201 kakitangan termasuk pegawai menerima anugerah yang disampaikan Dzulkifli.

Pada majlis itu, SPRM buat julung kali memperkenalkan Anugerah Emas Ketua Pesuruhjaya SPRM yang dianugerahkan kepada beberapa kumpulan pegawai atas kejayaan membongkar salah guna kuasa membabitkan pegawai Jabatan Air Negeri Sabah.

Isnin lalu, Sultan Johor menerima mengadap Dzulkifli dan beberapa pegawai kanan berhubung maklumat individu terbabit berkaitan rasuah untuk mendapatkan darjah kebesaran yang membawa gelaran ‘Tan Sri’. – WD MY