PUTRAJAYA, 26 Nov – Berkhatan……Seramai 1,250 kanak-kanak dari keluarga kurang berkemampuan di Wilayah Persekutuan dikhatankan beramai-ramai pada program Sunathon Perdana 2016 di Masjid Putra, di sini pagi ini.

Program dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan turut dihadiri Menteri Wilayah Persekutuan yang juga Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Dalam ucapannya, Perdana Menteri meminta masyarakat mengambil tahu dan menghayati ilmu kesihatan supaya sebarang penyakit boleh dicegah di peringkat awal.

Katanya, kepercayaan bahawa penyakit disebabkan ilmu hitam sehingga mengatasi kepercayaan kepada sains serta rawatan moden, perlu dielakkan.

“Saya pernah diberitahu oleh seorang pengarah pusat autisme bahawa tidak ramai anak autisme yang mendapatkan rawatan di tempatnya kerana sebahagian besar (ibu bapa) fikir anak mereka terkena buatan orang.

“Kepercayaan karut ini tidak boleh jadi amalan sehingga sesuatu yang terjamin kaedahnya kita ketepikan,” katanya.

Najib turut memuji usaha Kementerian Wilayah Persekutuan dan Pertubuhan Doktor-Doktor Islam Malaysia (PERDIM) melaksanakan program berkhatan secara percuma itu bagi membantu keluarga berpendapatan rendah. – WD MY