KUALA LUMPUR, 19 Okt – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata sebanyak 132 individu ditahan kerana terbabit dengan elemen pengganas termasuk militan Negara Islam (IS) hasil kerjasama antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan agensi perisikan antarabangsa.

Menurut beliau, daripada jumlah itu, 123 individu ditangkap kerana terlibat dengan elemen IS yang semuanya telah dikenakan tindakan.

“Seramai 22 orang dikenakan tindakan di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959, 38 orang dibebaskan, 48 orang sedang didakwa, 14 telah diusir keluar negara dan satu dalam siasatan,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Shamsul Anuar Nasarah (BN-Lenggong) mengenai tahap keselamatan negara ketika ini dan mengapa pengganas antarabangsa memilih Malaysia sebagai tempat perlindungan.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri bagaimanapun tidak mendedahkan secara terperinci maklumat tahanan kerana masih dalam siasatan polis.

Ahmad Zahid berkata, bagi membendung penularan ancaman kumpulan pengganas terutama IS, kerajaan melalui kementerian itu dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah melaksanakan langkah berkaitan seperti kerjasama dari segi perkongsian maklumat dengan agensi perisikan luar negara khususnya negara ASEAN.

“Hasil perkongsian maklumat ini, polis membuat pemantauan rapi dan menjejaki mereka yang disyaki terlibat dengan kumpulan pengganas tersebut,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa tahap keselamatan negara berada dalam keadaan baik dan terkawal daripada ancaman pengganas di dalam dan luar negara.

Ahmad Zahid berkata, kenyataan Shamsul Anuar bahawa pengganas antarabangsa telah memilih Malaysia sebagai tempat perlindungan tidak dapat disahkan bagi membolehkan mereka bergerak ke negara ketiga.

Beliau berkata, nama individu disyaki pengganas yang diperoleh hasil daripada perkongsian maklumat itu akan dikemukakan kepada Jabatan Imigresen Malaysia untuk disenarai hitam dan dimasukkan ke dalam Senarai Syak bagi menyekat pergerakan di semua pintu masuk dan keluar di seluruh negara.

Ahmad Zahid berkata, kerajaan juga sedang melaksanakan Sistem Saringan Awal Penumpang (APSS) bagi memastikan setiap warganegara asing dapat ditapis dengan lebih awal dan terperinci.

Beliau berkata, seiring penguatkuasaan Akta Pencegahan Keganasan 2015 (POTA) pada 1 September lepas, Kementerian Dalam Negeri bersama PDRM, Jabatan Penjara dan agensi berkaitan telah menggubal Modul Pemuliharan khusus bagi meneutralisasikan mana-mana individu yang ditahan kerana terlibat dengan aktiviti keganasan. – Suraya Ahmad (WD MY)

LEAVE A REPLY