MADINAH, 17 Jun – Persiapan……Tabung Haji (TH) menyediakan 600 petugas untuk kawal selia 22,320 jemaah Malaysia menunaikan haji pada tahun ini.

Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Syed Salleh Syed Abdul Rahman, berkata secara puratanya setiap lapan petugas akan menjaga 3,200 jemaah bagi tempoh 45 hari pada musim haji yang akan bermula antara Ogos dan September depan.

Katanya, 600 petugas itu terbahagi kepada dua kumpulan iaitu Rombongan Kebajikan seramai 350 petugas dan Rombongan Kesihatan yang terdiri daripada 250 petugas.

“Petugas Haji dari Rombongan Kebajikan adalah anggota TH sendiri, petugas dari agensi lain seperti Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Kor Agama Angkatan Tentera dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Pembimbing Ibadat Haji (Pihtas),” katanya kepada media Malaysia mengenai persiapan TH bagi musim haji tahun ini, di sini.

Rombongan Kesihatan pula akan terdiri daripada doktor pakar dan kakitangan kesihatan.

Syed Salleh berkata, TH juga mengambil tenaga tambahan dari kalangan penduduk tempatan sebagai Pembantu Petugas Haji (Patuh), seramai 260 orang.

Beliau berkata, latihan dan kemahiran petugas haji diberi penekanan melalui beberapa siri kursus yang diadakan sepanjang tahun sebelum bermulanya operasi haji.

“Ini bagi melahirkan seorang Petugas Haji Idaman yang kompeten, mesra, cekap dan bermaklumat di setiap stesen operasi sama ada di tanah air mahupun di Tanah Suci ketika berurusan dengan jemaah.

“Bagi Operasi Haji Tanah Air di Malaysia, bilangan petugas TH adalah seramai 250 orang dan agensi awam antara 800 hingga 1,200 orang,” katanya.

Beliau berkata petugas agensi luar termasuk kakitangan PDRM, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia, Sukarelawan Malaysia, Jabatan Kesihatan negeri, Majlis Perbandaran dan kerajaan negeri. – WD MY

LEAVE A REPLY