KOTA BHARU, 11 Nov – KETUAI…. Panglima Medan Barat Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Azizan Md Delin mengetuai senarai 624 penerima darjah kebesaran, bintang, pingat sempena Hari Keputeraan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V ke-48, hari ini.

Azizan adalah penerima tunggal dikurniakan Darjah Kebesaran Kesateria Mahkota Kelantan Yang Amat Perkasa (SPKK) yang membawa gelaran Datuk.

Tiga penerima Darjah Kebesaran Setia Mahkota Kelantan Yang Amat Terbilang (SPSK), yang membawa gelaran Datuk terdiri daripada Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Setia Mohd Zawawi Salleh; Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Malaysia, Datuk Seri Alias Ahmad dan Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Nik Kazim Nik Yusoff.

Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Datin Paduka Dr Aini Ideris dan Ketua Pengarah Bahagian Penyelidikan Jabatan Perdana Menteri, Datuk Hasanah Ab Hamid dikurniakan Darjah Kebesaran Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (DPMK) yang membawa gelaran Datuk.

Enam penerima Darjah Kebesaran Jiwa Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (DJMK) membawa gelaran Datuk termasuk Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub; Ahli Dewan Undangan Negeri Gual Periuk, Mohamad Awang dan Ahli Jemaah Ulama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan, Wan Hassan Wan Muhammad.

Tujuh penerima Darjah Kebesaran Kesateria Mahkota Kelantan Yang Amat Perkasa (DPKK) membawa gelaran Datuk termasuk Panglima Markas 2 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Mohd Ramli Jaafar; Panglima Markas Briged Artileri Roket, Brigediar Jeneral Wee Han Siew dan Juruiring Tentera Darat kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V, Brigediar Jeneral Mohd Zulkipli Mohd Zahir.

Seramai 12 penerima Darjah Kebesaran Setia Mahkota Kelantan Yang Amat Terbilang (DPSK) membawa gelaran Datuk termasuk Duta Besar Malaysia ke United Arab Emirates (UAE), Syed Md Hasrin Tengku Hussin; Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia, Dr Mohd Gazali Abas; Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan Kelantan, Yahya Mamat dan Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Kelantan, Abu Bakar Abdullah Kutty.

Lapan penerima Darjah Kebesaran Jasa Mahkota Kelantan Yang Amat Setia (DPJK) membawa gelaran Datuk termasuk Timbalan Ketua Pengarah (Penguatkuasaan & Pematuhan) Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Datuk Zullkifli Yahya; Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan dan Timbalan Ketua Polis Kelantan, Senior Asisten Komisioner Din Ahmad.

Sementara itu Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Faudzi Che Mamat, berkata sempena ulang tahun keputeraan baginda kali ini, Sultan Muhammad V berkenan melantik seramai sembilan Jaksa Pendamai (JP). – WD MY