LONDON, 24 Sept – ASID…. Enam dipercayai cedera semalam selepas sekumpulan lelaki dilaporkan menyembur bahan berbahaya dalam beberapa serangan di kawasan sekitar pusat beli-belah di timur London, kata polis.

Insiden itu bagaimanapun tidak dianggap sebagai serangan pengganas, kata seorang jurucakap polis.

Serangan berlaku berhampiran Stratford Centre di Stratford sekitar jam 8 pagi (waktu tempatan), kata polis.

Terdahulu, laporan menyebut kejadian di sekitar pusat beli-belah Westfield yang terletak berhampiran.

“Sejumlah enam orang awam dilaporkan cedera di lokasi yang berbeza. Setakat ini kami masih menantikan butiran lanjut,” kata Polis Metropolitan London dalam satu kenyataan.

Kenyataan itu turut menyebut seorang lelaki ditahan kerana disyaki menyebabkan kecederaan yang serius. – WD MY