BEIRUT, 6 Nov – SERANGAN….. 75 orang awam maut dalam serangan bom kereta militan Daesh ke atas kumpulan penduduk yang hilang tempat tinggal akibat pertempuran di timur Syria.

Ketua Pemantau Hak Asasi Manusia Syria (SOHR), Rami Abdel Rahman berkata, serangan semalam di wilayah timur Deir Ezzor, mengorbankan sekurang-kurangnya 75 orang awam termasuk kanak-kanak dan mencederakan 140 lain.

Abdel Rahman berkata, mangsa melarikan diri akibat pertempuran di wilayah di mana tentera rejim Syria dan pakatan Kurdish-Arab disokong Amerika Syarikat (AS), Pasukan Demokratik Syria (SDF), berjuang menentang kumpulan pelampau dalam serangan berasingan.

Sesetengah mendapatkan perlindungan di kawasan gurun dikawal SDF di timur tebing Sungai Euphrates apabila serangan bom berlaku.

Pengarah badan kebajikan Save the Children Syria, Sonia Khush berkata, anggaran 350,000 orang lari daripada pertempuran terkini di wilayah Deir Ezzor, separuh daripadanya kanak-kanak. – WD MY