SEREMBAN, 13 Dis – BANDAR RAYA….. Status bandar ini dijangka menjadi bandar raya pada tahun depan hasil penggabungan Majlis Perbandaran Seremban (MPS) dan Majlis Perbandaran Nilai (MPN), kata Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau berkata, penggabungan dua pihak berkuasa tempatan (PBT) yang kini di peringkat akhir, akan menjadi entiti baharu iaitu Majlis Bandaraya Seremban (MBS).

Katanya, ketika ini kerja mengubah suai bangunan baharu di lokasi dengan keluasan 46,000 meter persegi yang terletak di Rahang, sedang dijalankan.

“Bangunan yang akan dijadikan ibu pejabat operasi MBS itu terletak di kawasan strategik yang mempunyai ruang parkir yang luas untuk kemudahan orang ramai berurusan,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat EXCO di Wisma Negeri di sini, hari ini.

Bagaimanapun, katanya, pejabat untuk penyelenggaraan dan operasi masih dikekalkan di beberapa lokasi seperti di Mantin, Rantau bagi memudahkan urusan pelanggan.

Sementara itu Mohamad berkata, orang ramai yang mahu membeli rumah di negeri ini, boleh melayari portal perumahan https://perumahan.ns.gov.my/, yang memberi peluang memilih rumah diingini dengan cara lebih mudah.

Beliau berkata, portal itu memaparkan pelbagai maklumat termasuk jenis rumah, harga, lokasi dan senarai pemaju.

Lebih menarik, katanya, portal hasil usaha sama kerajaan negeri dengan pemaju perumahan itu, turut memaparkan unit rumah yang sudah dan belum terjual termasuk kuota Bumiputera.

“Kaedah ini dapat membantu pembeli mendapatkan rumah diingini dengan mudah iaitu melayari portal, memilih rumah, berurusan dengan pemaju, seterusnya membayar bayaran tempahan sebelum memiliki rumah idaman,” katanya. – WD MY