BAGAN DATUK, 20 Jan – Pertama Kali….. Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengarahkan sesi Dialog Perdana Transformasi Nasional 2050 (TN50) bagi kluster atau bidang agama Islam diadakan di seluruh negara untuk mendapatkan pandangan dan merangka agenda Islam menjelang tahun berkenaan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata PM telah mengarahkannya mengetuai pasukan untuk menjayakan dialog berkenaan dengan dibantu Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan timbalannya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

“TN50 ada pelbagai bidang seperti pendidikan, teknologi, kreativiti dan inovasi. Saya, Datuk Seri Jamil Khir dan Datuk Asraf Wajdi diarah untuk buat bidang agama, khusus untuk ketengahkan agenda agama Islam,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada majlis Karnival Mahabbah Institusi-Institusi Agama Islam sempena Pemukiman Menteri Besar Perak Daerah Bagan Datoh di Masjid Al-Falah, Sungai Nipah Darat, di sini, hari ini.

Pada majlis itu, Timbalan Perdana Menteri turut melancarkan Sistem Pengurusan e-Guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain Online (e-Guru KAFA) peringkat negeri dan nasional.

Sistem yang dibangunkan bagi pengurusan KAFA Perak itu, beroperasi secara dalam talian, termasuk urusan cuti, elaun dan gaji guru KAFA

Ahmad Zahid, berkata, melalui jelajah dialog itu nanti kerajaan berharap mendapat pelbagai input daripada pelbagai pihak yang terbabit berkaitan Islam.

“Bila buat dialog TN50 bidang agama, kita akan panggil semua ulama lama dan baru, ulama muda, kita mahu tahu apa yang boleh kita rancang untuk 33 tahun akan datang,” katanya.
Mengulas lanjut dialog TN50 bagi agama Islam, Ahmad Zahid berkata dialog  juga akan melihat sistem pendidikan Islam yang perlu disesuaikan dengan keperluan pasaran kerja.
“Saya beri contoh, dulu apabila maahad tahfiz ditumpu kepada hafal al-Quran, lepas itu bila (pelajarnya) tak ada (kelulusan) SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) nak kerja dengan majlis agama Islam tak boleh.
¬†“Kemudian kita ada ijazah, ke mana nak pergi? Mereka tak ada masa depan mereka mahu jadi imam tapi tanpa skim gaji, mungkin (dibayar) RM700-RM800, mungkin RM1,000 mungkin RM3,000 (sebulan) tetapi kita tidak iktiraf,” kata Ahmad Zahid. – WD MY