KLUANG, 1 Okt – Fokus Pada Kemenangan Parti……. Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan pemimpin bahagian untuk tidak terlalu memikirkan kedudukan
dalam parti sebaliknya perlu fokus kepada kemenangan parti pada pilihan raya
umum (PRU) akan datang.

Naib Presiden UMNO itu berkata beliau sedar ada segelintir daripada ketua
bahagian yang bercita-cita untuk menempah jawatan tertentu dalam parti dan
bukannya mengutamakan kemenangan parti.

“Ada yang sudah menempah baju politik dan jalan bergaya dan meletakkan
diri dalam kepimpinan bahagian. Saya menasihatkan mereka ini agar tidak
terlampau bercita-cita kerana kelak akan menimbulkan kekecewaan jika tidak
dipilih sebagai calon,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan persidangan perwakilan
UMNO Bahagian Simpang Renggam di Dewan Muafakat Majlis Daerah Simpang Renggam,
di sini hari ini.,

Ahmad Zahid menjelaskan mereka yang mempunyai jawatan di peringkat bahagian
belum tentu akan dipilih sebagai calon pada PRU akan datang kerana parti hanya
akan memilih calon yang disukai dan boleh membawa kemenangan pada parti.

Beliau berkata kaedah baharu yang akan digunakan oleh parti bagi memilih
calon bukan hanya menerusi laporan sebaliknya menerusi tinjauan yang akan
dilakukan secara rahsia.

Justeru itu, semua anggota UMNO digesa berkerja keras bermula hari ini bagi
memastikan kemenangan Barisan Nasional (BN) pada PRU akan datang, katanya.

Selain itu, Ahmad Zahid turut menyuarakan keyakinan terhadap kepimpinan
Menteri Besar dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor Datuk Seri Mohamed
Khaled Nordin dalam mentadbir kerajaan negeri dan UMNO negeri pada masa sekarang
dan akan datang.

“Dengan kepercayaan terhadap kemampuan Mohamed Khaled membina acuan sendiri
dalam mentadbir negeri dan UMNO Johor, saya akan terus membantu UMNO Johor
selagi dipercayai oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak,” katanya.

Menurut beliau, hanya orang Johor sahaja dapat memahami citarasa Johor.

Terdahulu, Ahmad Zahid merasmikan bangunan baharu Dewan Muafakat Majlis
Daerah Simpang Renggam. – WD MY

LEAVE A REPLY