Georgetown, 8 Mac – HALANG….. Sekumpulan penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Manggis yang diarahkan mengosongkan unit sewaan mereka baru-baru ini cuba menghalang seorang setiausaha politik kepada Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad, daripada meninggalkan lokasi pertemuan mereka malam tadi.

Setiausaha politik itu, Abu Bakar Yahya, terpaksa menunggu di dalam keretanya hampir 20 minit selepas kumpulan penduduk itu menghalang laluan kenderaannya keluar dari bangunan Komtar di sini di mana mereka telah berkumpul sejak semalam.

Bagaimanapun, kehadiran beberapa orang pegawai dan anggota polis ke lokasi itu berjaya meredakan keadaan kecoh itu bagi membolehkan Abu Bakar untuk meneruskan perjalanannya.

Ketua Pemuda Bersatu Pulau Pinang Shameer Sulaiman yang turut dikepung oleh sekumpulan penduduk yang tidak berpuas hati dengan penjelasannya juga terpaksa meninggalkan ruang legar bangunan itu dengan bantuan anggota polis.

Sebelum itu, Abu Bakar telah tiba di bangunan Komtar itu kira-kira pukul 7.00 malam tadi untuk bertemu penduduk yang terlibat bagi mendengar sendiri isu yang dihadapi mereka.

Bercakap kepada pemberita selepas itu, Abu Bakar berkata beliau membuat pertemuan itu atas arahan Mahathir yang mahukan beliau mendapat gambaran sebenar berhubung isu dihadapi penduduk terbabit serta penduduk di Tanah Wakaf Abdul Cauder, Jalan Mengkuang, di Butterworth.

Beliau juga telah mendapatkan maklum balas daripada Jabatan Perumahan Negeri dan menurutnya, jabatan itu memang bersedia membantu penduduk di sini mengikut undang-undang dan peraturan yang sedia ada.

“Saya akan menyediakan laporan yang akan diberikan kepada Tun (Mahathir),” katanya dan beliau turut meminta rakyat tidak mudah untuk menerima perkara yang tidak sahih disebarkan oleh pihak yang tidak bertanggung jawab.

Sebelum ini Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata kumpulan penduduk yang diarah mengosongkan unit kediaman di PPR Taman Manggis itu kerana mereka melanggar beberapa syarat mendiami kawasan berkenaan.

Antara pelanggaran syarat itu ialah mendiami perumahan itu melebihi lima tahun di mana ada di kalangan mereka yang telah tinggal di PPR itu sehingga 11 tahun.

Katanya tindakan mengeluarkan notis pengosongan itu terpaksa diambil kerana ingin memberi peluang kepada pihak yang lebih layak untuk mendapatkan kemudahan tersebut. – WD MY