SEPANGGAR, 24 Jun – SAMBUT…. Pihak Kerajaan Sabah menyambut baik keputusan Mahkamah Persekutuan yang menolak permohonan Syarikat Petroliam Nasional Bhd (Petronas) untuk memulakan prosiding undang-undang terhadap kerajaan Sarawak berhubung hak syarikat minyak negara itu mengawal selia aktiviti cari gali dan perlombongan minyak dan gas di negeri itu.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata sebarang perjanjian antara Petronas dengan kerajaan negeri di Sabah dan Sarawak tidak boleh membelakangkan hak dua negeri itu dalam Perlembagaan Malaysia.

“Perlembagaan akan kekal tidak berubah. Hak Sabah dan Sarawak untuk mencari gali sumber di negeri masing-masing masih termaktub dalam Perlembagaan.

“Kalau nak ubah Perlembagaan, ia mesti melalui Parlimen dahulu,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anggota Parlimen Sepanggar.

Semalam, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Petronas itu selepas memutuskan Mahkamah Persekutuan tidak boleh mendengar perkara itu kerana relif perisytiharan yang dipohon syarikat minyak negara itu tidak termaktub di bawah bidang kuasa Mahkamah Persekutuan, tetapi Mahkamah Tinggi. – WD MY