KUALA LUMPUR,JULAI 16:KRITIKAN…UMNO bersikap terbuka terhadap ahlinya yang lantang mengkritik kepimpinan parti itu.

Menurut ahli Parlimen Paya Besar, Mohd Shahar Abdullah, ia adalah sebahagian daripada pembaharuan parti itu yang mana ahlinya bebas menyatakan apa sahaja hasrat atau isi hati mereka berdasarkan pemerhatian dan tafsiran mereka.

Namun begitu dalam masa yang sama katanya, setiap ahli juga haruslah berlapang dada dan memberi ruang kepada kepimpinan yang baru dilantik itu untuk melaksanakan transformasi diharapkan.

“Kita sebagai ahli juga harus berlapang dada dan mempunyai rasa tanggungjawab memahami kepimpinan yang baru ini. Jadi kita harus bersabar dan memberi ruang kepada kepimpinan baru untuk melakukan perubahan.

“Dan kita ambil kira apa sahaja pandangan ahli. Ini merupakan satu pembaharuan, maknanya ahli sudah terbuka untuk menyatakan apa sahaja.

“Tapi dalam memberi kritikan, pandangan, kita juga perlu mempunyai rasa tanggungjawab terhadap masa depan parti,” katanya kepada BNPPortal.com, Ahad.

Menurutnya lagi, beliau yakin kepimpinan UMNO yang diterajui oleh Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai Presiden ketika ini mempunyai perancangan tersendiri untuk memacu kebangkitan semula parti keramat orang Melayu itu.

“Sudah pasti kepimpinan Presiden sekarang ini sedang merancang sesuatu. Mana mungkin seorang ketua akan membawa parti ini kepada sisi yang tidak kena kepada ahlinya. Sudah pasti segala perancangan diambil kira.

“Dan saya nampak hari ini kepimpinan bukan hanya mengambil kira pandangan Presiden sahaja, tetapi juga turut mengambil pandangan keseluruhan Majlis Kerja Tertinggi.

“Itu sebabnya saya melihat, apa sahaja yang kita lakukan adalah untuk kepentingan parti. Kita sebagai ahli boleh kritik, tapi kita mesti ada rasa tanggungjawab terhadap apa yang dilakukan. Dan keterbukaan kritikan itu harus mengambil kira masa depan parti juga,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan bekas Ketua Pemuda UMNO Kedah, Datuk Saiful Hazizi Zainal Abidin yang kebelakangan ini semakin lantang mengkritik keputusan yang dibuat oleh kepimpinan tertinggi parti itu.-MY WD