KUALA LUMPUR, JUN 7: JANGAN SIBUK…Ketua Pemuda Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Syed Saddiq Syed Abdul Rahman diingatkan agar tidak menyibuk ‘jaga tepi kain’ UMNO terutama pemilihan jawatan Ketua Pemuda parti itu.

Ketua Pemuda UMNO Pahang Mohd Shahar Abdullah menasihatkan Syed Saddiq supaya menumpukan usaha untuk memastikan terpilih menjadi menteri belia dan sukan.

“Syed Saddiq perlu menjadi menteri belia bagi menumpukan usahanya membantu peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bergaji RM4,000 ke bawah yang mengharapkan Pakatan Harapan menunaikan janji mereka sebelum menang PRU14.

“Syed Saddiq kena sedar, ramai anak-anak muda juga ternanti-nantikan satu juta peluang pekerjaan yang dijanjikan Pakatan Harapan walaupun kerajaan baru kini sedang sibuk bertungkus-lumus untuk menggambarkan ekonomi negara seakan-akan tenat,” katanya dalam satu kenyataan.

Shahar yang juga ahli parlimen Paya Besar berkata, sebagai ahli parlimen beliau ingin Syed Saddiq menjelaskan apa yang dilakukan untuk anak-anak muda tanpa mengira bangsa dalam mengurangkan beban kos sara hidup, peluang pekerjaan dan segala apa yang pernah dijanjikan.

“Daripada biar Nik Nazmi Nik Ahmad dari PKR jadi menteri belia, lebih baik Syed Saddiq yang jauh lebih muda menunjukkan taring kerana rekod kepimpinan Nik Nazmi tidak begitu menonjol walaupun pernah menjadi timbalan speaker Dewan Undangan Negeri Selangor,” katanya lagi.-MY WD