KANGAR, 29 Okt – PERUNTUKAN….. Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata Bajet 2018 yang memperuntukkkan bantuan bulanan RM200 selama tiga bulan kepada pesawah sementara menunggu hasil tuaian merupakan inisiatif terbaik bagi mengurangkan beban golongan petani sebelum musim menuai tiba.

Shahidan sebagai Anggota Parlimen Arau, beliau gembira kerana perjuangannya untuk masyarakat akar umbi terutama petani mendapat maklum balas daripada kerajaan.

“Walaupun perdana menteri tidak umum (peruntukan) secara khusus untuk Perlis, namun bantuan ini memberi manfaat kepada kebanyakan rakyat Perlis kerana ia adalah negeri pertanian,” katanya kepada media.

Semasa membentangkan bajet itu pada Jumaat, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pemberian bantuan bulanan RM200 kepada petani dalam tempoh tiga bulan sementara menunggu hasil tuaian padi dengan kos keseluruhan berjumlah RM150 juta.

Sementara itu, Shahidan berkata beliau akan memohon kepada kerajaan untuk menubuhkan sebuah pusat latihan tentera di Perlis dengan mengambil kira lokasi negeri ini yang terletak berhampiran sempadan Malaysia-Thailand.

Selain itu, beliau berharap pusat latihan Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dapat dipertimbangkan untuk diwujudkan di negeri ini. – WD MY