PETALING JAYA, JAN 11: SANGGAH…Pemuda Umno mencabar Menteri Kewangan Lim Guan Eng berhubung dakwaan beliau bahawa hasil minyak kini semakin kurang penting kepada kewangan awam, dengan berkata, angka yang dipetik menteri itu tidak menggambarkan keadaan sebenar.

Isu ini timbul berikutan laporan Nomura Global Research yang menyuarakan kebimbangan bahawa Malaysia terlalu bergantung pada hasil daripada Petronas untuk membiayai belanjawannya.

Lim menolak dakwaan itu dengan berkata, selain dividen khas daripada Petronas, anggaran pergantungan kerajaan pada hasil petroleum ialah sebanyak 19.5%, berbanding pada 2009 ketika hasil petroleum merupakan 41.3% daripada pendapatan kerajaan.

Naib ketua Pemuda Umno, Shahril Hamdan berkata, Lim tidak boleh mengetepikan dividen khas Petronas sebanyak RM30 bilion itu dan mendakwa kerajaan kini kurang bergantung pada hasil minyak.

Beliau memetik Unjuran Fiskal dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan 2019 yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan yang dengan jelas menyebut bahawa pendapatan petroleum mewakili 30.9% daripada hasil kerajaan.

“Lim juga gagal menyebut dalam kenyataan beliau bahawa dari 2009 hingga 2017, pergantungan kerajaan pada hasil pendapatan petroleum jatuh dengan banyaknya, iaitu dari 41.3% ke 15.7%.

“Tetapi selepas Pakatan Harapan (PH) mengambil alih kerajaan tahun lepas, ia meningkat ke 21.7% dan tahun ini 30.9%.

“Oleh sebab itu saya tidak boleh menerima dakwaan Lim bahawa kerajaan semakin kurang bergantung pada hasil petroleum ketika angka menunjukkan hakikat sebaliknya.”

Pada Mac tahun lepas, dilaporkan Petronas komited untuk membayar dividen sebanyak RM19 bilion kepada Putrajaya bagi tahun 2018. Pada Ogos, angka itu disemak semula kepada RM24 bilion.

Shahril berkata, kerajaan Barisan Nasional sebelum ini sebaliknya berjaya mengurangkan pergantungan pada hasil petroleum secara berterusan tahun demi tahun.

Beliau menggesa kerajaan memberi gambaran tepat tentang ekonomi negara dengan berkata, ia memberi kesan ke atas keyakinan orang ramai, selain pelabur dan badan kewangan antarabangsa.

“Sama seperti dakwaan hutang RM1 trilion, kerajaan hendaklah bersikap telus terhadap fakta dan angka,” katanya.-MY WD