KUALA LUMPUR, JUN 5: TIDAK BERTANDING…Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil menjelaskan beliau tidak akan menawarkan diri sebagai Ketua Wanita UMNO pada pemilihan kali ini.

Beliau menjelaskan, keputusan yang dibuat selepas mempengerusikan mesyuarat exco pergerakan itu diambil kerana berpendapat sudah tiba masanya sayap berkenaan diketuai individu yang mampu cara dan idea baharu.

Berikut merupakan kenyataan penuh beliau:

1. Semasa mempengerusikan mesyuarat exco pada hari ini, saya telah memaklumkan bahawa saya tidak akan menawarkan diri sebagai Ketua Wanita UMNO untuk pemilihan pada kali ini.

2. Keputusan untuk tidak menawarkan diri ini saya ambil kerana saya memandang serius suara lantang daripada rakyat yang mahu melihat perubahan dan pembaharuan dalam UMNO.

Masanya sudah tiba untuk Wanita UMNO diketuai oleh seorang Ketua Wanita baharu yang mampu membawa cara dan idea baharu yang mendapat sokongan bukan hanya daripada ahli Wanita UMNO tetapi juga mendapat sokongan rakyat.

3. Wanita UMNO mempunyai ramai pemimpin yang berpotensi terdiri daripada mereka yang berpengalaman mahupun mereka yang muda dan bertenaga.

Saya yakin jika mereka diberi peluang untuk memimpin Wanita UMNO, mereka akan menjalankan tugas dengan baik terutamanya untuk berkhidmat kepada rakyat.

4. Saya menyeru semua ahli Wanita UMNO terutama di peringkat akar umbi untuk mengekalkan semangat perjuangan selaku tulang belakang dalam parti.

Seorang pemimpin sebenarnya diuji semasa menghadapi krisis sama ada untuk mempraktiskan kebijaksanaan, menghadapi realiti, membawa perubahan, berkorban mahupun menguatkan semangat untuk meneruskan perjuangan.

Sebagai ibu terbaik bangsa, walau di mana jua kita berada, Wanita UMNO mesti meneruskan perjuangan untuk agama, bangsa, negara dan meneruskan perkhidmatan kepada rakyat yang

berbilang kaum.

5. Saya ingin memohon ampun dan maaf jika dalam saya menjalankan tugas selaku Ketua Wanita UMNO, saya terkasar bahasa atau tersilap langkah.

Terima kasih atas peluang, kepercayaan dan kesetiaan lebih 1.3 juta ahli Wanita UMNO kepada kepemimpinan saya selama ini.

Saya amat menghargainya. Sokongan dan perpaduan ahli Wanita UMNO lah yang memungkinkan saya menjalankan tanggungjawab dan tugas yang telah diamanahkan.

Saya berdoa semoga Malaysia dan rakyatnya terus selamat sejahtera.-MY WD