KUALA LUMPUR, 11 Nov – Bersiap Sedia….. Masih terlalu awal untuk meramalkan
kemungkinan risiko negatif ke atas ekonomi Malaysia susulan kemenangan Donald
Trump dalam pilihan raya presiden Amerika Syarikat (AS), kata Gabenor Bank
Negara Malaysia (BNM), Datuk Muhammad Ibrahim.
 Bagaimanapun, beliau memberi jaminan yang bank pusat telah siap bersedia
untuk menghadapi sebarang risiko.
“Kita perlu sentiasa berdaya tahan untuk menyerap sebarang kejutan luaran.
Sebagai sebuah ekonomi, kita sentiasa menyokong perjanjian perdagangan dan
proses globalisasi.
“Kita telah mempersiapkan industri kita dan rakyat untuk berdepan semua
perubahan daripada peningkatan globalisasi,” katanya semasa ditanya apakah yang
akan menjadi risiko negatif kepada Malaysia susulan kemenangan Trump itu.
Muhammad berkata demikian kepada pemberita selepas pengumuman pertumbuhan
ekonomi Malaysia sebanyak 4.3 peratus bagi suku ketiga tahun ini, di sini, hari
ini.
 Beliau berkata ekonomi negara masih akan positif walaupun sekiranya Trump
menolak Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP).
 “Sekiranya TPPA dibatalkan, ekonomi Malaysia tidak akan terjejas teruk
kerana kita telahpun mencatatkan prestasi baik sebelum perjanjian itu
dilaksanakan,” katanya.
Gabenor itu berkata alasan menyertai perjanjian tersebut adalah untuk
meningkatkan perdagangan serta pelaburan langsung asing.
Buat masa ini, katanya, BNM memantau dengan rapat langkah yang akan diambil
Trump.
 “Sekiranya pelarasan diperlukan untuk melindungi ekonomi kita, BNM akan
melakukan dengan sewajarnya,” katanya.  – WD MY