KUALA LUMPUR,OGOS 26:JDT…JDT…Pem kejuaraan Piala Malaysia bermula Sabtu ini dengan 16 pasukan mengintai peluang untuk memahat sejarah tersendiri di pentas berprestij itu.

Selepas selesai undian Isnin lalu, setiap pasukan sudah boleh mencongak nasib mereka kali ini.

Johor Darul Ta’zim (JDT) yang cukup konsisten musim ini dilihat berada dilandasan tepat untuk mempertahankan kejuaraan sekali gus melengkapkan gelaran berganda selepas menyimpan trofi Liga Super buat kali kelima berturut-turut.

Diundi bersama juara 2016 Kedah yang bergelut dengan prestasi, Kelantan tersingkir ke Liga Perdana dan MIFA dalam Kumpulan C boleh dilihat sebagai laluan mudah buat anak buah Raul Longhi ini melangkah ke pusingan kedua.

Bagaimanapun pasukan lawan mungkin boleh mengambil kesempatan ke atas JDT yang ketiadaan enam pemain termasuk penjaring kedua terbanyak mereka Safawi Rasid yang bersama skuad bawah 23 tahun negara (B-23) ke Sukan Asia Jakarta-Palembang.

Antara pasukan yang mampu mencabar JDT adalah Pahang yang menewaskan kelab Southern Tigers itu di suku akhir Piala FA dalam laluan mereka merangkul kejuaraan mengatasi Selangor 2-0 di pentas final pada 7 Julai lalu.

Skuad kendalian Dollah Salleh itu tampak bersungguh untuk merebut kejuaraan kelima sejak 2014 apabila sanggup berdepan kontroversi enggan melepaskan tonggak utama Matthew Davies dan Nor Azam Azih menyertai skuad B-23.

Namun sebelum mahu mengimpikan langkah lebih jauh, skuad Tok Gajah perlu terlebih dahulu melepasi pasukan juara 33 kali Selangor yang bakal kembali ke gelanggang keramat Stadium Shah Alam, PKNP dan Sabah dalam saingan Kumpulan D.

Mungkin boleh dikatakan daripada empat kumpulan, saingan Kumpulan A lebih sengit.

Perak yang mendapat tuah apabila berjaya menamatkan kempen Liga Super di tangga kedua, bakal bertemu dua lagi pasukan Liga Super yang boleh melakukan kejutan ke atas pasukan besar iaitu Terengganu dan Kuala Lumpur selain FELCRA yang menduduki tangga kedua Liga Perdana.

Perak pasti mengharapkan sentuhan pengendali Mehmet Durakovic yang sudah sinonim dengan kejayaan Piala Malaysia sebagai pemain dan jurulatih Selangor sebelum ini.

Saingan Kumpulan B juga sukar diramal apabila PKNS FC yang membelasah Perak 4-1 pada aksi terakhir liga untuk menduduki tangga ketiga berdepan Melaka United, juara Liga Perdana FELDA United dan PDRM.

Melaka mempamerkan kebangkitan sejak kebelakangan ini apabila tidak tewas dalam lima perlawanan terakhir liga manakala Sathianathan yang kini membimbing FELDA pasti mahu mengecapi semula kejayaan 2010 bersama Kelantan dalam kancah Piala Malaysia.-MY WD