KUALA LUMPUR,OKTOBER 7:JATUH…. Penyanyi, Siti Nordiana mengakui, selepas 20 tahun berjuang dan merasai jatuh bangun sebelum bangkit semula apabila menjuarai program, Gegar Vaganza musim kedua, baru kini dia mengecapi sedikit keselesaan hidup.

Memulakan langkah pada usia mentah, membuatkan penyanyi yang mesra disapa Nana itu, tidak terlalu memikirkan hala tuju hidup, sekali gus menyebabkan perjalanannya terumbang-ambing apabila kerjaya seninya mulai suram.

Justeru, Nana, 33, yang meraih empat pencalonan awal Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-31 lebih berhati-hati dalam menyusun perjalanan kerjaya kerana akur, putaran hidup insan seni umpama roda yang mencabar.

“Untuk mengekalkan momentum kerjaya, saya perlu terus menghasilkan produk yang disukai. Alhamdulillah, selepas mencecah usia 30-an, bintang saya baru menyerlah. Memang saya takut jika tidak lagi mampu mengekalkan momentum dan populariti.

“Saya pernah merasai zaman kejatuhan yang teruk. Namun, sebagai manusia, saya harus sentiasa bersedia dengan segala kemungkinan. Selalu saya ingatkan diri, pasti nanti akan hadir bintang baharu yang hebat.

“ Saya juga sudah matang selepas hampir dua dekad berjuang. Hidup perlu ada persediaan,” katanya yang bersaing dalam kategori Penyanyi Wanita Popular, Artis Kolaborasi/Duo/Berkumpulan Popular bersama Jaclyn Victor, Pengacara TV Popular dan Artis Versatil Popular.

Sentiasa realistik dalam hidup, Nana berkata, kejayaan menggenggam trofi Penyanyi Wanita Popular, tahun lalu adalah antara pencapaian paling manis yang tidak pernah disangka.

“Kemenangan tahun lalu sudah cukup membuat saya terkejut, apatah lagi jika meraih pengiktirafan lebih tinggi. Saya tidak pernah bermimpi untuk pergi terlalu jauh, terutama memenangi Bintang Paling Popular.

“Apa yang saya peroleh hari ini bukan mudah. Saya pernah popular dan tersungkur, namun kini bangkit semula dengan menghargai peluang kedua,” katanya.

Mengulas mengenai penghasilan buku, Life Goes On yang mendedahkan kisah hidupnya sejak mencipta nama pada usia 15 tahun, Nana berkata, ia sudah terjual hampir 5,000 unit.

Akuinya, buku itu dihasilkan bukan untuk mengaibkan sesiapa, terutama bekas suaminya, Mohd Faizal Yusup dan pasangan duetnya, Achik Spin yang sudah meninggal dunia.

“Sebelum menulis buku ini saya kaji dan fikir betul-betul. Perkongsian saya bukan mahu membuka pekung di dada, sebaliknya memberi motivasi kepada pembaca. Saya pernah kecewa dan putus harapan selepas bercerai.

“Lebih teruk apabila saya jatuh tersungkur hingga seorang teman memberikan sebuah buku motivasi untuk saya bangkit semula. Membaca buku itu menemukan saya dengan semangat yang baharu.

“Itu yang membuatkan saya terfikir untuk menghasilkan buku ini. Ia sekadar perkongsian pengalaman, bukanb ertujuan untuk mengungkit segala perjalanan yang pernah saya lalui dahulu,” katanya.-MY WD