SEPANG, 24 Feb – Siasat…… Pihak Polis menyiasat bagaimana bahan kimia Ethyl S-2-Diisopropylaminoethyl Methylphosphonothiolate atau Agen Saraf VX yang digunakan untuk membunuh abang pemimpin Korea Utara, Kim Jong-nam, dibawa masuk ke negara ini kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Beliau berkata ini kerana bahan berkenaan dilarang dibawa masuk ke Malaysia.

Bahan kimia itu disenaraikan sebagai senjata kimia dalam Jadual I, Akta Konvensyen Senjata Kimia 2005 dan Konvensyen Senjata Kimia 1997.

“Kalau (bawa) masuk dalam jumlah kecil, susah kita nak kesan. Siasatan akan turut dijalankan di lokasi kejadian pembunuhan bagi mengenal pasti sekiranya masih terdapat kesan radioaktif bahan itu.

“Saya tidak cakap ini adalah perbuatan kerajaan Korea Utara (pembunuhan Jong-nam), biar kami jalankan siasatan dahulu,” katanya ketika ditemui media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.

Selain itu Khalid juga menafikan dakwaan bahawa waris kepada Kim Chol atau Jong-nam akan tiba dalam masa terdekat di Kuala Lumpur.

“Kita tidak akan hantar pasukan ke Macau, kita akan tunggu waris untuk datang dan buat pengecaman dan ambil (sampel) DNA,” katanya. -WD MY