PETALING JAYA, MEI 7:SIASAT…Pihak berkuasa diminta menyiasat dakwaan berlakunya transaksi pembelian penonton oleh pihak pembangkang bertujuan memanipulasi data dalam siaran dan saluran media sosial mereka.

Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairul Azwan Harun, berkata wujud kebarangkalian amat tinggi perkara itu dilakukan pihak pembangkang terutama berdasarkan siasatan yang dilakukan pihaknya.

Khairul Azwan, berkata tindakan memanipulasi data sering dilakukan khususnya di negara membangun, terutama ketika pilihan raya, di mana terdapat agensi yang boleh membuat transaksi pembelian penonton melalui Facebook.

“Di Facebook, bagi mendapatkan 200,000 penonton ia hanya membabitkan kos sebanyak RM600,000 saja.

“Tindakan itu bertujuan mempengaruhi pemikiran rakyat apabila membuat keputusan untuk mengundi kelak pada 9 Mei ini,” katanya ketika sidang media di Hotel One World, di sini, hari ini.

Khairul Azwan, bagaimanapun berkata, perkara itu bukanlah tuduhan sebaliknya hanya mahu pihak berkuasa menjalankan siasatan segera.

“Kita boleh lihat mainan data itu dilakukan dengan cara terbuka oleh pihak pembangkang.

“Di negara ini, pengundi mesti membuat keputusan berdasarkan apa yang mereka mahu serta kehendaki dan bukan dipengaruhi oleh taktik kotor yang dibuat oleh PH,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Komunikasi Strategik BN, Datuk Eric See-To Choong, berkata senarai harga untuk membeli ‘likes’ dan penonton boleh dilakukan oleh pihak pembangkang kerana mereka berkemampuan.

“Untuk mendapatkan sejuta penonton harga yang perlu dibayar adalah RM3 juta, manakala 100 juta penonton hanya RM30 juta.

“Jumlah itu mungkin senang untuk mereka membayar terutama dengan pilihan raya yang semakin dekat,” katanya.-MY WD