JOHOR BAHRU, 19 April – Ambil Masa…… Siasatan kes pembelian hartanah oleh MARA Incorporated Sdn Bhd (MARA Inc) di Australia, dijangka mengambil masa sehingga hujung tahun ini susulan maklumat baharu diterima Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Timbalan Ketua Pesuruhjaya Operasi SPRM, Datuk Azam Baki, memberi jaminan akan menjalankan siasatan sepenuhnya kes yang disiasat sejak tahun 2015 lalu.

Katanya, setakat ini 24 saksi sudah dipanggil dan pihaknya menjalankan siasatan di lebih tujuh lokasi premis termasuk pejabat peguam, penilai dan pejabat MARA serta yang berkaitan dengannya, selain banyak dokumen sudah dirampas.

“Kes ini ada maklumat baharu yang ada kaitan dengan siasatan kes pembelian hartanah di Australia yang kita buka siasatannya pada tahun 2015.

“Jadi ini siasatan berterusan. Kita akan teruskan kepada nasihat undang-undang Pejabat Peguam Negara.

“Banyak lagi yang akan dibuat. (Siasatan) punca wang itu, ke mana wang itu dibelanjakan dan siapa pihak yang terbabit dalam menerima wang haram,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas mengadakan mesyuarat bersama Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Simi Abdul Ghani dan Pengarah SPRM negeri, Datuk Azmi Alias, di sini hari ini. – WD MY