PUTRAJAYA, 22 Mac – Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar
berkata polis tetap menjalankan siasatan terhadap isu dana 1Malaysia Development
Bhd (1MDB) ketika Jabatan Audit Negara melakukan audit terhadap syarikat itu.

Beliau berkata walaupun polis sebelum ini menetapkan hanya akan menjalankan
siasatan jika audit terhadap 1MDB mengesan sebarang percanggahan, pasukan
petugas khas bagi kes itu yang bermesyuarat pada Jumaat lalu memutuskan segala
maklumat atau laporan yang diterima berhubung kes itu perlu disiasat.

“Berikutan polis menerima maklumat dan laporan berkaitan kes (1MDB), pasukan
petugas khas ini berpendapat kami perlu menjalankan siasatan yang sepatutnya ke
atas apa juga maklumat yang diterima tanpa perlu menunggu laporan penuh Jabatan
Audit Negara selesai,” katanya.

Selain Bahagian Jenayah Komersial, pasukan petugas khas yang ditubuhkan bagi
menyiasat laporan polis berhubung 1MDB berkaitan dakwaan salah urus dana
syarikat itu turut disertai Jabatan Peguam Negara dan Suruhanjaya Pencegahan
Rasuah Malaysia (SPRM), katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melepaskan peserta
Kayuhan Malaysia Polis Diraja Malaysia di Dataran Putrajaya di sini, hari ini.

1MDB, syarikat pelaburan strategik berkaitan kerajaan yang ditubuhkan pada
2009, menjadi fokus utama media dan masyarakat berikutan dakwaan penyelewengan
pengurusan kewangannya..

Namun, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 4 Mac lepas, telah
mengarahkan agar Ketua Audit Negara untuk meneliti dan mengesahkan secara bebas
akaun syarikat itu.

“Jika terbukti ada salah laku, undang-undang akan dikuatkuasakan tanpa
pengecualian,” kata Perdana Menteri.- Suraya Ahmad (WD MY)

LEAVE A REPLY