KUALA LUMPUR, JULAI 15: DITANGGUHKAN…Sidang Dewan Rakyat yang dijadualkan Isnin ini bakal berdepan kemelut termasuk ditangguhkan seandainya jika benar, pemilihan jawatan Yang Dipertua Dewan Rakyat tidak memenuhi Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat yang ditetapkan.

Ini kerana berdasarkan Peraturan Majlis Mesyuarat Perkara 4, calon yang dicadangkan sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat hendaklah memberitahu Setia­usaha Dewan dengan bersurat sekurang-kurangnya 14 hari sebelum mes­yuarat berlangsung sama ada calon itu setuju atau tidak dicalonkan sebagai calon Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Mengulas perkara itu, bekas Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia menjelaskan, jika notis dua minggu berdasarkan peraturan mesyuarat itu tidak dipenuhi, sidang Dewan Rakyat perlu ditangguhkan bagi memastikan kerajaan Pakatan Harapan menghormati peraturan yang ditetapkan.

“Sidang Dewan Rakyat perlu keluar bukti nama calon yang dihantar itu penuhi syarat notis dua minggu, jika tidak, persidangan pada Isnin ini hendaklah ditangguhkan dan ditetapkan dua ming­gu lagi.

“Ini bagi memastikan calon Yang Dipertua Dewan Rakyat yang dicadangkan memenuhi syarat-syarat dan peraturan mesyuarat yang ditetapkan,” katanya.

Mengikut laporan portal Be­rita Harian, calon yang dikatakan bakal dipilih untuk jawatan tersebut, Datuk Mohamad Ariff Md. Yusof belum menerima surat lantikan rasmi daripada kerajaan.

Sebelum ini, nama beberapa nama lain turut disebut-sebut sebagai calon Yang Dipertua Dewan Rakyat antaranya tokoh sosiobudaya, Tan Sri Dr. Rais Yatim dan juga pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang.

Menurut Pandikar Amin, ketika dipilih pada 2008, beliau perlu menandatangani dokumen perakuan untuk memaklumkan bahawa beliau bersetuju untuk dicalonkan sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat, 14 hari sebelum mesyuarat dijalankan.

“Pada ketika itu (2008), Setiausaha Dewan Rakyat, Datuk Roosme Hamzah datang ke Kota Kinabalu, Sabah bersama seorang lagi pegawai berjumpa dengan saya untuk mendapatkan perakuan persetujuan untuk saya dicalonkan sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat.

“Tetapi apa yang saya nampak sekarang, kerajaan Pakatan Harapan seolah-olah tiada calon tetap Yang Dipertua Dewan Rakyat, sekejap orang ini, sekejap orang itu.

“Kalau itu berlaku, adakah mereka telah melanggar peraturan mesyuarat kerana tidak memenuhi notis dua minggu yang ditetapkan?” katanya.

Pandikar Amin yang berpe­nga­laman 10 tahun sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat berkata, rakyat juga berhak mengetahui dengan lebih awal calon Yang Dipertua Dewan Rakyat dan tidak sewajarnya kerajaan membiarkan khabar angin mengenainya berterusan.

“Rakyat seolah-olah sengaja di­permainkan, banyak nama dibahaskan sebagai calon Yang Dipertua Dewan Rakyat tetapi soal peraturan mesyuarat tidak pula mahu dijelaskan kepada rakyat,” katanya.

Dalam itu, Ketua Setiausaha Sekretariat Pakatan Harapan, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, sebarang isu mengenai soal pemilihan calon Yang Dipertua Dewan Rakyat itu akan diumumkan oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

“Tunggu Isnin ini,” katanya.

Sementara itu, usaha Mingguan Malaysia untuk mendapatkan penjelasan mengenai isu tersebut daripada Roosme tidak berhasil.-MY WD