KUALA LUMPUR, 24 April – Sidang Kemuncak dua hari itu, yang berlangsung pada 26-27 April, akan
menumpukan antara lainnya kepada kemajuan yang dicapai berkaitan penubuhan
Komuniti ASEAN pada penghujung 2015 dan merangka pelan tindakan seterusnya untuk
membawa perkumpulan serantau itu ke tahap yang lebih tinggi.

Para Pegawai Kanan dari negara anggota ASEAN mula berkumpul di
Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pagi ini untuk membincangkan butiran terperinci
dan kemajuan pelbagai isu berkaitan dengan Sidang Kemuncak Asean Ke-26.

Mesyuarat yang dijadual berlangsung hari ini ialah Mesyuarat Jawatankuasa
Wakil Tetap ke ASEAN (CPR) dan mesyuarat Pasukan Petugas Khas Peringkat Tinggi
Ke-10 bagi Kumpulan Kerja Integrasi Ekonomi ASEAN pasca 2015.

ASEAN terdiri dari 10 negara, iaitu, Brunei Darussalam, Filipina,
Indonesia, Kemboja, Laos, Malaysia, Myanmar, Singapura, Thailand dan Vietnam.

Pada malamnya, para Pegawai Kanan dan delegasi akan menghadiri majlis makan
malam di Malaysian Petroleum Club, Menara Berkembar Petronas, di sini.

Sidang kemuncak tahunan itu yang mengumpulkan bersama kesemua sepuluh
pemimpin perkumpulan, berlaku pada tempoh yang penting ketika anggota ASEAN
berusaha keras untuk merealisasikan penubuhan Komuniti ASEAN yang telah lama
diimpikan, yang bertujuan mengukuh dan mengeratkan lagi penyepaduan serantau.

Sementara itu Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman dijadual mengadakan sidang
akhbar mengenai Sidang Kemuncak ASEAN Ke-26 pada 3.30 petang di KLCC.
-Faizal Dato Badarudin (WD MY)

LEAVE A REPLY