MANILA, 29 April – Bermula……. Sidang Kemuncak ASEAN ke-30 yang menghimpunkan ketua kerajaan 10 negara serantau, bermula hari ini.

Presiden Filipina, Rodrigo Duterte, dalam ucapan perasmiannya sebentar tadi, menegaskan pentingnya untuk ASEAN kekal sebagai gagasan yang berpegang kepada peraturan dan mengutamakan rakyat.

Pertama kali menjadi hos sejak dipilih sebagai Presiden pertengahan tahun lalu, Duterte berkata, ASEAN perlu komited terhadap usaha mengukuhkan integrasi dan bersifat inklusif serta meningkatkan kesalinghubungan.

“Sejarah akan menghakimi bagaimana kita membantu rakyat,” katanya di Pusat Konvensyen Antarabangsa Filipina (PICC) yang turut disiarkan secara langsung ke seluruh negara.

Kerap mencuri tumpuan atas pendekatan tegasnya memerangi narkotik, Duterte berkata, usaha pembentukan masyarakat ASEAN sukar dilaksanakan jika pengedaran dadah terus mengancam kesejahteraan serantau.

Pada masa sama, beliau berharap sikap saling menghormati dalam kalangan negara anggota terus menjadi amalan, termasuk ketika bersuara di pentas antarabangsa.

“Hubungan kita akan lebih berkesan jika berlandaskan sikap hormat dan perkongsian memanfaatkan,” katanya.

Persidangan bertemakan ‘Perkongsian Bagi Perubahan, Mendepani Cabaran Dunia’ itu turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Pemimpin dijangka membincangkan pelaksanaan Wawasan Komuniti ASEAN 2025 dan pengisian serta hala tujunya, selain isu berbangkit membabitkan kepentingan bersama serantau dan antarabangsa. – WD MY