KUALA LUMPUR, 26 Nov – Sime Darby Bhd mencatatkan untung bersih sebanyak RM328.4 juta untuk suku pertama berakhir 30 September 2015, jatuh 34 peratus berbanding RM500.7 juta pada tempoh yang sama tahun lalu.

Pendapatannya, bagaimanapun meningkat 0.5 peratus kepada RM10.17 bilion berbanding RM10.12 bilion.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Tan Sri Mohd Bakke Salleh, berkata keputusan kewangan pada suku dikaji mencerminkan persekitaran pasaran yang mencabar merentasi semua bahagian perniagaan.

Beliau berkata, permintaan yang lemah dalam perniagaan pengguna dan harga minyak sawit mentah dan arang batu yang rendah menjejaskan keuntungan kumpulan.

Katanya, konglomerat itu kekal komited untuk menguruskan kos dan mempercepatkan inisiatif strategik untuk meningkatkan margin operasi dan memanfaatkan peluang pasaran.

Sime Darby juga mengumumkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) untuk tahun kewangan berakhir 30 Jun 2016 dengan sasaran untuk mencatatkan perolehan bersih RM2.0 bilion.-Sharini Abdulah (WD MY)

LEAVE A REPLY