KUALA LUMPUR, 3 Jan – TUMPAS….Satu sindiket pengedar dan memproses daun ketum tumpas selepas polis menyerbu sebuah makmal di Taman Setapak, dekat sini, kelmarin.

Dalam serbuan itu, polis menahan empat lelaki, berusia antara 21 tahun dan 56 tahun, termasuk dalang utama dalam sindiket berkenaan.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mazlan Lazim, berkata serbuan pada jam 3.45 petang itu dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Wangsa Maju selepas melakukan risikan ke atas rumah berkenaan.

“Sindiket ini dikenali sebagai ‘Ayah Non’ yang sudah bergerak aktif di Kuala Lumpur sejak tiga bulan lalu.

“Hasil pemeriksaan di makmal berkenaan, kita berjaya merampas 96 bungkus beg plastik daun ketum sebanyak 96 kilogram (kg), 217 bungkus air ketum 173.6 liter dan satu bekas besar berisi daun ketum 20 kg bernilai kira-kira RM19,000,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK)¬†Kuala Lumpur.

Mazlan berkata, sindiket itu membawa daun ketum dari utara sebanyak dua kali seminggu menggunakan bas ekspress dan diproses di makmal di sini.

“Daun ketum itu diproses menjadi air dan diedarkan kepada ejen untuk dijual kepada pembeli.

“Sebungkus air ketum dijual pada harga RM10 dan suspek dianggarkan boleh memperoleh keuntungan kira-kira RM6,000 sebulan,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10,000 atau penjara tidak melebihi empat tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – WD MY