SHAH ALAM, 24 Mei – Tumpas…. Pihak Polis Selangor menumpaskan sindiket pemalsuan wang dengan tertangkapnya enam suspek dalam serbuan berasingan sekitar Lembah Klang, semalam kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Selangor, Asisten Komisioner Wan Rukman Wan Hassan.

Wan Rukman berkata dua suspek lelaki dan dua suspek wanita ditahan di sebuah hotel bajet di Bandar Bukit Tinggi Klang.

Suspek disyaki terbabit dalam sindiket memproses wang palsu sejak akhir tahun lalu.

“Dalam tangkapan itu, polis merampas wang tunai palsu bernilai RM5,000 dan satu set barang serta peralatan memproses wang palsu itu.

“Selepas soal siasat terhadap suspek, serbuan kedua dibuat di sebuah premis di Jalan Kebun dan polis menahan seorang lelaki dan merampas 50 keping wang palsu bernilai RM100 dan dua keping wang palsu RM20 serta satu set barang dan peralatan memproses wang itu,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Wan Rukman berkata, ketua sindiket berkenaan ditahan di sebuah rumah di Puchong.

“Hasil pemeriksaan, polis menemui 20 keping wang palsu bernilai RM100, satu set barang dan peralatan sama.

“Ujian air kencing terhadap empat suspek lelaki dan seorang suspek wanita yang ditahan mendapati mereka positif dadah jenis amphethamine.

“Suspek lelaki berusia antara 20 hingga 40 tahun manakala suspek wanita berusia 30 hingga 40 tahun itu dipercayai beroperasi di sekitar Lembah Klang sejak 2016,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 489D Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Katanya, serbuan dibuat berdasarkan maklumat orang awam dan bank yang membuat aduan mengenai wang palsu diterima.

Suspek direman enam hari hingga 29 Mei ini. – WD MY